MAC 2025

TYT Dan Premier Hadiri Majlis Sungkei Anak Sarawak 2025 Di KLCC


KUALA LUMPUR, 22 MAC – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd. Sanusi diiringi bersama oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg serta isteri, YABhg. Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang  menghadiri Majlis Sungkei Anak Sarawak 2025 yang dianjurkan oleh Yayasan Sarawak Pejabat Kuala Lumpur di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Majlis ini turut dihadiri  Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato Sri Haji Fadillah bin Haji Yusoff serta isteri, YABhg. Datin Sri Hajah Ruziah binti Mohd Tahir; Yang Dipertua Dewan Negara, YB Senator Dato Awang Bemee bin Awang Ali Basah; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia bin Awang Nasar serta isteri, Dato Hajah Fatimah binti Haji Mohd. Iskandar; barisan Menteri-Menteri Persekutuan dan Sarawak; Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki serta isteri, Datin Amar Hajah Baduyah binti Haji Bujang; Pengarah Yayasan Sarawak, YBhg. Datu Haji Mersal bin Abang Rosli serta isteri, Datin Hajah Noraini binti Adenan, serta barisan dif-dif kenamaan yang lain.

Sejurus ketibaan tetamu kehormat, majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Ustaz Awang Mohammad Safuan bin Awang Safari, yang kemudiannya diikuti dengan majlis  berbuka puasa.

Selesai berbuka, hadirin tetamu juga menunaikan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadilah Ustaz Dato Haji Mustapha Kamal bin Ahmad Fauzi.

Dalam majlis tersebut, seramai 475 pelajar Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia telah menerima sumbangan Aidilfitri daripada Yayasan Sarawak, menerusi Majlis Sungkei Anak Sarawak 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah 392 penerima merupakan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT), 36 orang di bawah Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak, tujuh dalam kalangan anak-anak kakitangan Yayasan Sarawak termasuk 40 orang anak-anak kakitangan Rumah Sarawak Kuala Lumpur. 

Secara simboliknya, seramai 50 orang pelajar telah menerima penyampaian sumbangan dan duit raya dan secara keseluruhannya, 475 anak Sarawak menerima sumbangan ini. 

Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat Isyak berjemaah dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.